Saturday, December 27, 2014

Persiapan Menghadapi Banjir, Bahagian 1

1- Beberapa hari yang lepas, seluruh negara digemparkan dengan kejadian banjir luar biasa di Pantai Timur terutamanya yang paling kritikal di negeri Kelantan. Jika sebelum ini, negeri- negeri pantai timur telah menjangka dan menduga kehadiran banjir tahunan, majoriti kali ini tidak dapat mengagak tahap keseriusan banjir, sehingga mencecah hampir 100,000 orang di Kelantan, Pahang dan Perak.

2- Bencana banjir kali ini, banyak mengingatkan saya kepada bencana banjir di Johor pada penghujung tahun 2006. Ketika itu, saya masih berkhidmat bersama- sama MERCY Malaysia, dan bertugas menguruskan komunikasi lapangan bersama- sama puluhan kakitangan dan sukarelawan. Dan satu persamaan yang ketara di antara dua bencana ini ialah, kegagalan masyarakat untuk menjangka keseriusan banjir di daerah masing- masing.

3- Di Kelantan, "bah merah" ataupun banjir besar pernah berlaku di negeri tersebut ialah pada tahun 1927 dan 1967, dan di negeri Perak, sebagai contoh di Kuala Kangsar, kali terakhir banjir hampir menenggelamkan Bandar di Raja itu ialah pada tahun 1967. Dan sudah tentu tidak ramai di kalangan generasi hari ini yang masih mengingatinya, dan tidakpun diberitahu oleh generasi yang lebih tua tentang bencana tersebut.

4- Peristiwa tsunami pada 26 Disember 2004, mencetuskan usaha pertama ke arah pengurangan risiko bencana di Malaysia di kalangan NGO di negara kita oleh Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, yang ketika itu merupakan Presiden MERCY Malaysia. Dalam program- program yang kami jalankan, seringkali perbincangan dan temubual diadakan, dan antara yang paling saya ingat terutamanya di Pantai Timur, masyarakat setempat seringkali merujuk kejadian banjir sekadar perkara biasa dan "pesta air" sahaja. Ianya berlaku saban tahun, dan jarang sekali kejadian yang meragut nyawa berlaku.  Sehingga sampai satu tahap, sebenarnya kami yang banyak belajar tentang banjir daripada masyarakat setempat, kerana ianya sudah menjadi kelaziman kepada mereka.

5- Namun begitu, tahun demi tahun berlalu, persekitaran setempat tidak lagi sama seperti dahulu. Sepanjang tahun, pasti ada pembangunan baru muncul, dan setiap hari pasti ada kawasan hutan yang "dibotakkan". Kawasan tadahan hujan semakin dihimpit, dan perubahan iklim dunia tidak lagi boleh dijangka dengan mudah. Dalam masa yang sama, penduduk masih lagi dengan pemikiran dan pendapat bahawa banjir tahunan tidak akan menjadi lebih serius daripada biasa.

6-Melalui pengalaman dan pengetahuan yang saya perolehi selama bekerja di Jabatan Pengurangan Risiko Bencana, MERCY Malaysia, sejak tahun 2007, usaha- usaha mengurangkan risiko bencana bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang serius, memerlukan tindakan masyarakat setempat, DAN mesti disokong penuh oleh pihak berwajib.

Program Siapsiaga Komuniti Menghadapi Bencana oleh MERCY Malaysia di Johor
Sumber: Website MERCY Malaysia 

7- Dalam kenyataan oleh Majlis Keselamatan Negara di Global Platform for Disaster Risk Reduction, pada 22 Mei 2013 di Geneva, kerajaan akan membentuk satu platform pengurusan bencana kebangsaan (national platform on disaster management) yang melibatkan pelbagai pihak. Berdasarkan laporan Hyogo Framework for Action dalam tahun 2011, yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara untuk Malaysia, sokongan pelbagai sektor telahpun dikenalpasti, termasuk semua agensi- agensi kerajaan, kumpulan akademik dan penyelidik universiti tempatan seperti  Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universti Malaysia Sabah. Antara badan NGO yang disenaraikan ialah MERCY Malaysia, Malaysian Nature Society dan Third World Network. Turut serta ialah United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia. Laporan Kemajuan Pengurangan Risiko Bencana Dunia 2011, yang dilakukan secara "self assessment" oleh Malaysia, dilaporkan pada tahap 3.75/ 5.00. Laporan ini diwajibkan ke atas 168 buah negara di seluruh dunia yang menandatangani Hyogo Framework for Action pada tahun 2005.

8- Namun begitu adakah laporan ini,  dapat menggambarkan persiapan sebenar yang boleh kita saksikan setiap kali bencana melanda? Saya ingin mengajak anda semua berfikir dan pada masa  yang sama, kita perlu berusaha melakukan perubahan di peringkat paling kecil iaitu diri sendiri dan keluarga.

9- Antara perkara penting yang seringkali kami tekankan semasa hebahan dan kempen kesedaran bencana ialah konsep "grab bag". Konsep ini adalah persiapan yang paling mudah untuk semua orang lakukan, dan tidak memerlukan belanja yang besar, malah boleh diperolehi di dalam rumah anda sendiri. Namun begitu, jika anda tidak tahu, dan tidak pernah terfikir, ianya boleh menentukan kesejahteraan anda dan keluarga ketika ditimpa bencana. Apakah itu "grab bag" dan berapa ramaikan sedar tentang kepentingan persiapan ringkas ini kepada nyawa masing- masing ketika bencana melanda?

10- Secara mudah, ia adalah beg yang mengandungi benda- benda penting, yang mudah untuk anda bawa dengan segera sekiranya perlu meninggalkan tempat tinggal. Yang anda perlu perincikan dalam penyediaan "grab bag" ialah kandungan yang mudah dibawa, tidak mudah rosak dan praktikal.

11- Senarai "grab bag" termasuklah makanan kering dan minuman. Anda boleh menyimpan makanan kering yang tahan lama, dan tidak perlu dimasak dan terus boleh dimakan. Antara yang dicadangkan ialah biskut, atau makanan pemberi tenaga, yang biasanya mempunyai tarikh jangka hayat yang lama. Makanan dan minuman yang lambat rosak boleh membantu anda membuat persiapan "grab bag" dengan lebih awal, tanpa perlu menggantikannya selalu.

12- Sepasang pakaian juga perlu dimuatkan di dalam "grab bag". Pakaian perlulah ringkas, dan menepati keperluan sementara, dan cukup sekadar membolehkan kita tidak berada dalam keadaan basah, atau kotor sementara perlu berpindah, mendapat bantuan atau sementara kita boleh kembali ke rumah semula.

13- Lampu suluh dan bateri yang cukup adalah sangat penting disediakan di dalam "grab bag" anda. Kebiasaannya apabila bencana berlaku tiba- tiba, bekalan elektrik akan terputus. Bagi memastikan usaha untuk meminta bantuan, dan juga bagi memastikan keselamatan diri terjaga dan terhindar daripada bahaya- bahaya lain di persekitaran, lampu suluh adalah sangat penting. Pastikan juga lampu suluh anda mempunyai hayat bateri yang masih mencukupi untuk tempoh beberapa hari.

14- Keperluan komunikasi paling penting ketika ini pastinya telefon bimbit dan jangan lupa "power bank/ battery pack" yang sudah di-cas penuh. Di saat tragedi bencana yang serius, sistem komunikasi biasanya akan lumpuh, walaupun tidak serta merta. Namun begitu, ia tidak bermakna kita langsung mengetepikan perancangan ini. Jika kita lihat dalam kejadian banjir sekarang ini juga, komunikasi sementara banyak menggunakan kemudahan telefon bimbit dan internet.  Dan jika anda benar- benar berada dalam kawasan yang berisiko tinggi, tidak salah juga jika anda boleh menyediakan set walkie talkie untuk keperluan satu keluarga.

15- Dokumen pengenalan diri perlu diletakkan di dalam bekas kalis air, dan pastikan ianya diletakkan berasingan di dalam "grab bag" anda, supaya tidak tercicir ketika mengeluarkan barang- barang yang lain. Jika anda mempunyai anak- anak kecil, pastikan dokumen pengenalan diri mereka juga disimpan rapi bersama- sama anda atau pasangan anda.

16- Ubat- ubatan penting untuk penyakit masing- masing dan kelengkapan pertolongan cemas yang ringkas tidak boleh dilupakan sama sekali. Bagi mereka yang mempunyai penyakit kritikal, dan perlu bergantung kepada pengambilan ubat harian, pastikan anda sentiasa mengemaskini keperluan ini dari masa ke masa terutama di kala musim banjir tiba. Pastikan juga anda mempunyai senarai ubat- ubat yang anda ambil, bagi memudahkan doktor dan sukarelawan perubatan membantu anda nanti di pusat- pusat pemindahan sementara.

17- Beg yang anda gunakan untuk mengisi semua barang- barang yang disenaraikan di atas, mestilah tidak begitu besar, dan tidak begitu kecil. Seeloknya ia kalis air,  dan jika tidak, anda dengan mudah boleh menyediakan plastik dengan saiz yang sesuai untuk membalut beg anda itu. Anda juga boleh meletakkan pelekat berwarna terang bagi memudahkan anda mengenalpastinya di dalam gelap, dan pastikan anda menyimpannya di tempat yang sama supaya tidak lupa.

18- Pelbagai keperluan lain juga boleh anda sediakan, bersesuaian dengan diri sendiri, dan yang paling penting seluruh keluarga anda juga melakukan perkara yang sama. Bagi ahli keluarga yang mempunyai keperluan berbeza seperti ahli keluarga kelainan upaya, orang tua yang uzur, bayi dan kanak- kanak, anda mesti memberi keutamaan kepada persiapan "grab bag" mereka dan mencari jalan bagi membolehkan "grab bag" mereka boleh dibawa bersama- sama dengan mudah.

Pengalaman dan pengetahuan yang saya kongsi di atas adalah berdasarkan penglibatan saya sebagai kakitangan dan Ketua Jabatan Pengurangan Risiko Bencana, MERCY Malaysia (2007- 2012) dan sebagai sukarelawan MERCY Malaysia. Untuk menyumbang kepada tabung banjir MERCY Malaysia, anda boleh lihat maklumat lengkap di dalam poster di bawah. 




6 comments:

Nur Herdayu Jami'an said...

Info yang amat berguna best sharing.:)

Wak Lat said...

Salam. Hee semoga banjir cepat surut.

puteri kasih said...

persiapan menghadapi banjir memang penting dan semua orang perlu tahu.
Mudah-mudahan banjir akan cepat surut dan mangsa-mangsa dapat kembali semula ke rumah masing masing :)

nanadhoi said...

nice info, harap-harap banjir cepat surut.

Aziela said...

Saya sangat suka dengan idea grab bag ini. Makanya, entry ini perlu di'repost'kan lagi tahun hadapan sebagai reminder kepada semua. Dan semua orang perlu bersedia dengan grab bag, tak kiralah mereka pernah dilanda banjir atau tidak kerana bencana tidak boleh dijangka. Mangsa tahun ini juga semua terkejut kerana selama puluhan tahun mereka tidak pernah terkesan dengan banjir, tetapi tahun ini semuanya jadi lautan.

Saya nak tambah, makanan kering boleh juga masukkan sekali quaker oats dan nestum. Boleh sediakan lampu yang menggunakan dynamo. Kalau ada kanak2 yang dah bersekolah, mungkin mereka juga boleh membawa grab bag untuk diri mereka sendiri. Kecil, tetapi sangat membantu.

aliyahaznin said...

Saya setuju tu Aziela...budak2 sekolah pun kena tau, in fact kalau dah biasa, bila2 pun dlm bag kena ada benda2 ni, apatah lagi bila dah musim banjir. Silakan share di FB anda utk lebih ramai tau info ini :) TQ!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...