2- Antara teknik dan pengetahuan awal yang saya kutip ketika bersama- sama Jabatan Pengurangan Risiko Bencana MERCY Malaysia, diajar oleh Profesor Ogawa, dari Universiti Kyoto, Jepun, iaitu teknik "town watching". Ia juga dikenali sebagai "disaster risk mapping" ataupun "pemetaan risiko bencana". Kali pertama kami diajar teknik ini ialah selepas bencana banjir Johor pada tahun 2007. Pihak MERCY Malaysia dengan kerjasama Universiti Kyoto telah menjemput beberapa agensi tempatan seperti Jabatan Bomba, Jabatan Meteorologi, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan Majlis Daerah untuk bersama- sama belajar tentang teknik ini, dan pada masa yang sama bertukar- tukar input di antara kami sebagai NGO dan agensi- agensi ini sebagai jentera penggerak utama bantuan bencana. MERCY Malaysia kemudiannya mengajar teknik ini di beberapa program yang lain termasuklah School Preparedness Programme dan Johor Community Preparedness Programme.
3- Apakah sebenarnya "town watching/ disaster risk mapping" ini? Secara ringkas yang boleh saya terangkan ialah, ia adalah aktiviti yang dijalankan oleh komuniti setempat secara sistematik bagi (i) mengenalpasti risiko bencana di persekitaran mereka, (ii) mengenalpasti sumber sedia ada dan sumber yang diperlukan oleh komuniti bagi membantu mereka merancang persiapan menghadapi bencana dan (iii) mengenalpasti dan merancang pelan kecemasan komuniti.
4- Bagi mengenalpasti risiko bencana banjir di persekitaran tempat tinggal, isi rumah dengan mudah boleh merujuk kepada kebiasaan yang berlaku setiap tahun, berdasarkan keadaan cuaca dan musim yang biasa melanda kawasan tersebut, seperti musim hujan atau ribut. Jika mereka sudahpun menetap di kawasan tersebut selama bergenerasi, sudah tentu mereka telah banyak pengalaman dan menyimpan rekod- rekod kejadian banjir sebelum ini. Pastinya mereka boleh mengenalpasti tren yang melanda tahun demi tahun. Perlu diingat, tren cuaca semakin tidak menentu, dan sukar dijangka. Oleh itu, komuniti perlu ada pengetahuan tentang perubahan cuaca, pembangunan drastik di kawasan berhampiran, pengurangan kawasan tadahan hujan dan sebagainya.
5- Risiko banjir juga berbeza antara satu isi rumah dengan isi rumah yang lain, berdasarkan lokasi kediaman masing- masing dengan sungai yang paling berhampiran. Ada rumah- rumah yang terletak di kawasan lebih tinggi, jadi risikonya adalah kurang berbanding dengan rumah- rumah yang terletak di tepi sungai. Komuniti perlu mengenalpasti berapa anggaran isi rumah yang berisiko untuk terjejas akibat banjir dan bagaimana isi rumah yang tinggal di tempat lebih tinggi boleh membantu, misalnya menjadi tempat perlindungan sementara.
6- Antara perkara lain yang biasanya boleh menjadi risiko ketika berlakunya banjir termasuklah kemudahan- kemudahan awam yang tidak diselenggara (jambatan yang rosak, pokok- pokok tua yang mudah tumbang ketika banjir dan sebagainya). Isi rumah dan komuniti mesti berupaya melihat keadaan sekeliling dan membuat jangkaan "bagaimana keadaan sekarang boleh menjadi risiko di masa hadapan, terutamanya ketika bencana banjir?".
7- Setelah semua risiko di senaraikan, kita perlu mengenalpasti sumber dan kekuatan yang kita ada, bagi membantu mengurangkan risiko tersebut ketika berlaku banjir. Kita memang tidak boleh mengelak daripada kejadian banjir, tetapi kita boleh membantu mengurangkan risiko yang muncul ketika banjir melanda. Antara sumber dan kekuatan yang penting di dalam komuniti ialah kesedaran untuk siapsiaga menghadapi banjir. Isi rumah yang ada pengetahuan dan kesedaran boleh membantu isi rumah yang lain untuk mendapatkan kesedaran dan pengetahuan yang sama. Selain itu, sumber yang penting termasuklah komunikasi di antara komuniti setempat dengan agensi- agensi bantuan yang lain. Pastikan kita mempunyai nombor- nombor kecemasan yang boleh dihubungi, dan pastikan agensi- agensi berhubung rapat dengan JKKK setempat. Antara persediaan sumber yang penting juga ialah pusat pemindahan sementara yang boleh digunakan, jika isi rumah perlu berpindah. Antara kemudahan yang biasa digunakan sebagai pusat pemindahan banjir ialah balairaya ataupun sekolah.
8- Langkah terakhir dalam aktiviti "town watching/ disaster risk mapping" ini ialah membentuk peta dan pelan kecemasan komuniti untuk disebarkan kepada semua orang dalam kawasan tersebut. Antara perkara yang perlu diperincikan dalam pelan kecemasan isi rumah termasuklah laluan selamat untuk ke tempat perlindungan sementara, laluan selamat jika perlu menyelamatkan diri dengan segera, nombor- nombor penting ahli keluarga di luar kawasan, dan agensi- agensi bantuan dan perancangan menyediakan "grab bag" untuk setiap ahli keluarga. Pastikan pelan kecemasan ini dibuat sebelum musim banjir melanda supaya isi rumah sempat berlatih dan mengenalpasti kelemahan -kelemahan yang perlu diperbaiki. Segala maklumat ini perlu ditulis dan dilukis di atas peta yang lebih besar untuk memudahkan orang lain melihat dan mendapatkan maklumat.
Contoh Peta Risiko Bencana yang boleh dilukis selepas selesai membuat pemerhatian bersama- sama ahli keluarga dan jiran- jiran. Sumber: Website MERCY Malaysia |
9- Jika anda rasa persiapan menghadapi banjir dengan melaksanakan "town watching/ disaster risk mapping" ini terlalu sukar dilaksanakan di peringkat komuniti, anda boleh memulakannya di kalangan ahli keluarga anda sendiri. Dan cuba juga mengajak beberapa orang jiran untuk turut serta. Untuk merancang dengan lebih teliti dan mendapatkan gambaran yang lebih jelas, aktiviti ini perlu dilaksanakan secara berkumpulan sambil berjalan- jalan di sekitar tempat tinggal anda. Lakukan pemerhatian langsung, dan kenalpasti perubahan- perubahan yang anda tidak sedar sebelum ini. Lebih ramai yang terlibat dalam aktiviti pemerhatian ini, lebih banyak info yang kita boleh kumpul dan buat pemerhatian lebih lanjut.
10- Namun begitu, perlu diingat siapsiaga ini perlu dilakukan sebelum musim banjir tiba, dan diberi keutamaan. Siapsiaga yang baik boleh mengurangkan kerosakan harta benda secara tiba- tiba dan yang paling penting dapat menyelamatkan nyawa.
Pengalaman dan pengetahuan yang saya kongsi di atas adalah berdasarkan penglibatan saya sebagai kakitangan dan Ketua Jabatan Pengurangan Risiko Bencana, MERCY Malaysia (2007- 2012) dan sebagai sukarelawan MERCY Malaysia. Untuk menyumbang kepada tabung- tabung bantuan banjir, anda boleh merujuk info di bawah:
Sumber NST |
1 comment:
terima kasih berkongsi...penting semua tau ni
Post a Comment